Rabu, 22 Februari 2012

KEBURUKAN FANATIK

Oleh : DrMAZA.comFanatik ini telah berlaku di kalangan sesetengah umat Islam sejak dahulu. Sehingga membawa kepada permusuhan sesama Islam dek perbezaan pendapat dalam hukum syarak. Sehingga dalam era ketaksuban dahulu, di Masjidil Haram, Mekah umat Islam bersolat dengan empat imam dan setiap imam mewakili mazhab masing-masing. Setiap makmum akan memilih imam yang sesuai dengan mazhabnya. Seakan-akan solat di belakang imam lain tidak sah. Hal ini berterusan, sehinggalah gerakan pembaharuan pemikiran agama berjaya menghapuskan kekarutan tersebut. Bayangkanlah jika hal tersebut berterusan sehingga hari, di kala umat Islam begitu lemah dan berpecah.
Selepas Rasulullah s.a.w wafat, baginda meninggalkan ramai para sahabah yang merupakan ilmuwan besar bagi umat ini. Namun, tiada seorang di kalangan para sahabah yang agung itu menyatakan sesiapa yang mengambil pendapat saya maka dia tidak boleh mengambil pendapat orang lain. Perkara yang seperti itu tidak pernah didakwa oleh Khalifah yang empat, atau ‘Abd Allah bin Masud, ‘Abd Allah bin ‘Umar, atau ‘Abd Allah bin ‘Abbas atau selain mereka. Padahal mereka jauh lebih memahami syariat RasululLah s.a.w dari orang selapas mereka. Malangnya, apabila muncul imam-imam mazhab seperti al-Imam Abu Hanifah (80H-150H), al-Imam Malik bin Anas (93H-179H), al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i (150H-204H), al-Imam Ahmad bin Hanbal (164H-241H) dan lain-lain tokoh lagi, tiba-tiba ada di kalangan pengikut mereka yang taksub mendakwa bahawa sesiapa yang mengambil pendapat dari salah seorang imam ini tidak boleh lagi mengambilnya dari imam lain. Ini seperti pengikut fanatik Mazhab Hanafi yang membantah orang Pakistan mengambil pendapat  selain dari Mazhab Hanafi. Atau pengikut fanatik Mazhab Malik yang menghalang membantah Morocco mengambil pendapat selain dari Mazhab Malik. Atau pengikut fanatik Mazhab al-Syafi’i yang membantah orang Malaysia mengambil selain dari Mazhab al-Syafi’i.  Kontradiknya, dalam masa yang sama mereka mengakui bahawa imam-imam tersebut kesemuanya adalah tokoh-tokoh sarjana Ahli Sunnah, tetapi menolak keilmuan mereka hanya kerana faktor daerah atau negara. Pada hal, para imam itu sendiri tidak pernah mengajar demikian dan negara-negara yang wujud ini belum pun terbentuk pada zaman mereka apatah lagi pada Rasul s.a.w.
Tokoh terkenal, Dr ‘Abd al-Karim Zaidan berkata: “Pendapat mazhab-mazhab yang muktabar diterima oleh pengikut mereka di atas andaian benar dan menyampaikan seseorang kepada hukum Allah. Hendaklah difahami bahawa andaian benar ini dikongsi oleh semua mazhab islamiah yang muktabar, bukan hanya terkumpul pada satu mazhab. Maka tidak harus untuk pengikut salah satu mazhab ini menganggap bahawa telah terhimpun dalam mazhabnya kebenaran dalam setiap pandangan. Lalu menganggap salah sesiapa yang menyanggahi mazhabnya. Ini perkara yang tidak pernah diucapkan oleh mana-mana mazhab, tidak pernah mereka menyandarkan hal seperti ini kepada diri mereka dan tidak pernah menganggap kebenaran hanya terkumpul dalam ijtihad mereka. Bagaimana mungkin pengikut mereka pula mendakwa perkara yang seperti ini?!! (Dr Abd al-Karim Zaidan, Al-Sunan al-Ilahiyyah,  m.s. 147, Beirut: Muassasah al-Risalah)
http://drmaza.com/home/?p=22

Tidak ada komentar: