Allah memberikan penghormatan kepada golongan yang suka mengkaji alam
dan memanfaatkannya untuk mendekatkan diri kepadaNya. Allah menggelar
mereka sebagai ulul albab dan hal ini amat signifikan bagi umat Islam.
Ia merupakan rangsangan yang istimewa daripada Allah agar umat Islam
mendekati alam untuk mengkajinya. Dengan itu ketakwaan mereka kepada
Allah akan meningkat. Secara khusus, antara ciri yang terdapat pada ulul
albab ialah suka mengkaji dan bertafakur tentang penciptaan langit dan
bumi. Pada hari ini golongan yang banyak mengkaji tentang kejadian
langit dan bumi ialah pakar-pakar sains dalam bidang astronomi dan
astrofizik. Justeru, ayat 190 dalam surah Ali Imran berhubung ulul albab
merangsang umat Islam agar menjadi saintis. Saintis yang mahu
dihasilkan mengikut formula al-Quran ialah saintis yang mengingati Allah
di mana saja dia berada. Bukannya saintis yang ateis.
Al-Quran sememangnya mahu umat Islam memiliki minda yang saintifik.
Minda yang saintifik merupakan minda yang kuat berfikir, kritikal, mampu
menganalisis data dan fakta, serta mampu membuat andaian dan
kemudiannya konklusi terhadap apa yang dicerap. Minda saintifik menolak
sebarang laporan dan pandangan yang tidak berlapikkan bukti dan dalil.
Sebenarnya minda seperti inilah yang mahu dilahirkan oleh Islam
kerana Islam menyuruh umatnya agar tidak mengikut sesuatu yang tidak
bersandarkan bukti dan dalil. Dalam surah al-Israk ayat 36 Allah
berfirman,
Janganlah kamu mengikut apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya.
Berhubung dengan ayat ini, Syed Qutub berkata dalam Fi Zilal al-Quran,
Janganlah kamu mengikut sesuatu tanpa berpandukan ilmu
yang meyakinkan dan (janganlah mengikut sesuatu) yang tidak terbukti
kesahihannya.
Mementingkan Bukti Bukan Menjadi Pak Turut
Dalam surah al-Baqarah ayat 259, Allah menceritakan tentang seorang
lelaki yang telah Allah matikan selama seratus tahun sebelum
dihidupkannya semula. Kemudian Allah memaparkan kepadanya bukti-bukti
tentang kekuasaan Allah Yang Menghidupkan dan Mematikan. Allah
berfirman,
Atau apakah (kamu tidak memperhatikan) seorang lelaki
yang melalui sebuah negeri yang temboknya telah roboh menutupi
atap-atapnya. Dia berkata: Bagaimanakah Allah akan menghidupkan negeri
ini yang sudah hancur? Maka Allah mematikannya selama seratus tahun
kemudian menghidupkannya kembali. Allah bertanya: Berapa lamakah kamu
tinggal di sini? Dia menjawab: Satu atau setengah hari sahaja. Allah
berkata: Lihatlah kepada makanan dan minumanmu yang belum lagi berubah.
Lihatlah juga kepada keldaimu (yang telah menjadi tulang-belulang), dan
Kami jadikan kamu sebagai tanda kekuasaan Kami bagi manusia. Lihatlah
kepada tulang-belulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali
dan Kami membalutinya dengan daging. Selepas jelas baginya (tentang
bagaimana Allah menghidupkan orang mati) dia pun berkata: Sesungguhnya
aku yakin bahawa Allah Maha berkuasa atas setiap sesuatu.
Lihatlah bagaimana bukti dan dalil menguatkan keyakinan lelaki ini terhadap Allah.
Demikian jugalah yang berlaku ke atas nabi Ibrahim. Dalam surah
al-Baqarah ayat 260 Allah menceritakan tentang nabi Ibrahim yang suka
menguatkan keyakinan baginda melalui bukti yang jelas. Baginda berkata,
“Wahai Tuhanku, tunjukkanlah kepadaku tentang bagaimana
Kamu menghidupkan mereka yang mati. Berkata Allah: Apakah kamu tidak
yakin? Berkata Ibrahim: Aku telah yakin akan tetapi agar hatiku mantap
(dengan iman).”
Oleh sebab bukti dan dalil adalah penting, Islam tidak pernah memaksa
orang-orang bukan Islam memeluk Islam. Sebaliknya mereka yang bukan
Islam diutarakan hujah yang rasional tentang kebenaran Islam sekali gus
menyerlahkan kepalsuan pegangan mereka. Sebagai contoh, ketika Allah
berbicara tentang penyembahan patung-patung berhala, Allah menggunakan
hujah serta dalil yang boleh difahami untuk menjelaskan tentang
kesesatan amalan itu. Dalam surah al-Haj ayat 73 Allah berfirman,
Wahai manusia telah dibuat perumpamaan, maka dengarkanlah
olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah
sekali-kali tidak dapat mencipta seekor lalat pun walaupun mereka
bersatu untuk menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu dari
mereka, tiadalah mereka dapat merebutnya kembali dari lalat itu. Amat
lemahlah yang menyembah dan amat lemah jugalah yang disembah.
Demikian jugalah pendekatannya ketika Allah berbicara tentang alam
ghaib, sebagai contoh, kebangkitan semula selepas mati. Allah
membuktikan kebenaran kejadian itu dengan mengaitkannya dengan fenomena
alam yang boleh dilihat dan difahami oleh manusia. Dalam surah Faatir
ayat 9 Allah berfirman,
Allah jualah yang menghantarkan angin dan angin itu
menggerakkan awan, kemudian Kami halakan awan itu kepada negeri yang
mati (kawasan kering kontang) dan Kami hidupkan bumi itu sesudah matinya
(dengan menurunkan hujan). Demikianlah juga kebangkitan manusia (iaitu
kehidupan selepas mati).
Pendekatan seperti ini mampu mengetuk minda serta menjentik hati.
Ayat-ayat ini menunjukkan dengan jelas bahawa pencarian bukti dan dalil
merupakan suatu yang amat dituntut oleh agama kerana melaluinya
keyakinan dan cara hidup yang mantap akan terbina. Jika keyakinan
seseorang telah pun mantap, ia akan memantapkan lagi keyakinan itu.
Dalam konteks nabi Ibrahim, permintaan baginda untuk melihat bagaimana
Allah menghidupkan orang yang mati bertujuan untuk meningkatkan lagi
makam keyakinan baginda daripada ilmu al-yakin (keyakinan berdasarkan
hujah ilmu) kepada ain al-yakin (keyakinan berdasarkan penglihatan). Hal
ini disebutkan dalam al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa.
Minda Saintifik
Minda saintifik membenci khurafat dan tahayul. Khurafat dan tahayul
merupakan kepercayaan yang tidak berasaskan bukti lagi tidak masuk akal.
Islam menentang kepercayaan yang seperti ini, sebagai contoh,
kepercayaan terhadap konsep sial majal. Berhubung dengan ini Bukhari dan
Muslim meriwayatkan sabda nabi yang bermaksud,
Tidak ada sial majal (dalam Islam).
Dalam riwayat yang lain oleh Bukhari, nabi bersabda, “Tidak ada sial
pada bulan Safar.” Dalam sesetengah masyarakat kadang kala kesialan
dikaitkan dengan bunyi binatang tertentu, contohnya burung hantu,
ataupun suara-suara tertentu. Nabi menolak kepercayaan yang dangkal ini
melalui sabda baginda yang bermaksud, “(Mempercayai) kesialan pada
suara-suara (tertentu)….. ialah dari perbuatan syaitan.” Hadis ini
diriwayatkan oleh Abu Daud.
Sebagai satu agama yang saintifik, Islam menerima penemuan serta
kajian yang sah lagi autentik terutamanya di sudut duniawi. Nabi
Muhammad merupakan contoh yang terbaik dalam aspek ini. Dalam aspek
duniawi baginda amat menghormati rumusan dan konklusi yang diputuskan
berdasarkan pengamatan serta bukti yang sahih. Pernah pada suatu ketika,
baginda menegur sahabat-sahabat yang telah mengacukkan pohon-pohon
kurma demi memperoleh hasil yang lebih baik. Kerana menghormati nabi,
mereka tidak lagi mengacukkan pohon-pohon itu. Hasilnya ialah
produktiviti yang menurun dan pengalaman ini akhirnya mereka ceritakan
kepada baginda. Nabi terus menyuruh mereka meneruskan dengan amalan yang
asal, iaitu mengacukkan pohon-pohon kurma, kerana telah terbukti cara
itu mendatangkan hasil yang lebih baik. Berkaitan dengan insiden inilah,
nabi bersabda (berpandukan hadis Muslim daripada Rafi’ bin Khadij),
“Kamu lebih tahu tentang urusan duniamu.”
Minda Progresif
Al-Quran merupakan sumber rujukan nombor satu bagi umat Islam. Ia
dipenuhi dalil serta bukti yang pelbagai berkaitan dengan alam, manusia
serta sistem hidup. Al-Quran berjaya membentuk umat Islam menjadi
golongan yang progresif mindanya. Daripada al-Quran, umat Islam memiliki
kefahaman yang betul tentang alam dan kehidupan.
Sebagai contoh, umat Islam, lama sebelum lahirnya teori Big Bang,
sudah mengetahui bahawa langit dan bumi pada asalnya bercantum padu
sebelum bermula proses kejadian alam. Pengetahuan ini adalah berdasarkan
firman Allah dalam surah al-Anbiya ayat 30 yang bermaksud,
Apakah orang-orang kafir itu tidak mengetahui bahawa
langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu (ratqa)
kemudian Kami pisahkan antara keduanya (fataq).” Kesan daripada ayat ini
lahirlah pandangan sebagaimana yang diutarakan oleh ulama tabiin iaitu
Imam Said bin Jubair yang telah meninggal lebih daripada seribu tahun
dahulu. Beliau berkata, “Langit dan bumi sebelum ini melekat antara satu
sama lain. Apabila langit ditinggikan dan dengan itu zahirlah bumi maka
berlakulah pemisahan dan itulah yang dimaksudkan Allah dalam ayat ini.
Tambahan daripada itu, ulama Islam dari kalangan sahabat-sahabat nabi
dan generasi selepas mereka juga telah mengetahui, berpandukan
ayat-ayat al-Quran, bahawa proses kejadian bayi melalui pelbagai tahap,
bermula dengan percantuman antara benih lelaki dengan benih perempuan.
Mereka tidak pernah mengatakan bahawa kejadian bayi bermula dengan
percantuman antara air mani lelaki dengan darah haid wanita seperti yang
dinyatakan oleh Aristotle. Sebagai contoh sahabat nabi Abdullah ibn
Abbas berkata,
Air lelaki telah bertemu dengan air perempuan kemudian ia
bergabung dan bercantum dan selepas itu ia berubah daripada satu tahap
ke satu tahap yang lain dan daripada satu keadaan ke satu keadaan yang
lain dan daripada satu warna ke satu warna yang lain.
Pandangan yang sama juga telah dinyatakan oleh Imam Ikrimah, Mujahid,
al-Hasan, dan Rabie’ bin Anas, seperti yang disebutkan oleh Ibn Kathir
dalam Tafsir al-Quran al-Azim.
Di barat pula keadaannya adalah berbeza. Pakar-pakar biologi di sana,
pada abad ke-17 dan 18 Masihi, masih lagi terbahagi kepada dua
kumpulan. Kumpulan pertama mengatakan bayi telah sedia wujud dalam
sperma lelaki dalam bentuk yang kecil sebelum persetubuhan berlaku.
Golongan ini dikenali sebagai homunculists. Golongan kedua pula yang
dikenali sebagai golongan ovists, mempercayai bayi telah sedia wujud
dalam ovari wanita. Apabila persetubuhan berlaku embrio-embrio kecil ini
seolah-olahnya mendapat lampu hijau untuk terus hidup dan membesar. Hal
ini dilaporkan di Human Developmental Anatomy Center (Research
Collections, National Museum of Health and Medicine, Washington D.C.),
di http://nmhm.washingtondc.museum/collections/hdac.
Lebih menakjubkan, para sahabat juga telah mengetahui bahawa kadar
hujan yang turun di muka bumi adalah sama pada setiap tahun. Hal ini
adalah berdasarkan beberapa firman Allah, antaranya ayat 11 dalam surah
az-Zukhruf yang bermaksud,
Dialah yang menurunkan air dari langit mengikut kadar lalu Kami hidupkan dengan air itu bumi yang mati….
Berhubung dengan ini, Ibn Kathir meriwayatkan kenyataan Abdullah ibn Abbas dan Abdullah ibn Masud yang berkata,
Tidaklah hujan yang turun pada suatu tahun melebihi kadar hujan yang turun pada tahun-tahun yang lain.
Kenyataan mereka memang selari dengan penemuan sains moden kerana
pusingan hidrologi dunia (hydrologic or water cycle) menunjukkan kadar
hujan yang turun adalah sama pada setiap tahun. Hal ini disebutkan dalam
Wikipedia Encyclopedia bersumberkan daripada NASA dan United States
Geological Survey. Pakar-pakar menganggarkan air hujan yang turun dari
langit ke bumi mencecah 513 trilion ton setiap setahun tanpa sebarang
perubahan.
Justeru, ajaran Islam berjaya membentuk minda saintifik lagi
progresif di kalangan umat. Kesan daripada itu maka lahirlah
saintis-saintis Muslim yang agung lagi mengagumkan. Kekaguman ini pernah
disuarakan oleh seorang tokoh sains dari barat, George Sarton
(1884-1956), dalam buku beliau yang bertajuk Introduction to the History
of Science (Carnegie Institution of Washington Publication No. 376,
Baltimore, 1927). Beliau berkata,
Memadai rasanya jika kita sekadar menyebutkan beberapa
nama tokoh Islam yang tidak ada tandingannya di barat ketika itu.
Antaranya ialah Jabir ibn Haiyan, al-Kindi, al-Khwarizmi, al-Fargani,
al-Razi, Thabit ibn Qurra, al-Battani, Hunain ibn Ishaq, al-Farabi,
Ibrahim ibn Sinan, al-Masudi, al-Tabari, Abul Wafa, Ali ibn Abbas, Abul
Qasim, Ibn al-Jazzar, al-Biruni, Ibn Sina, Ibn Yunus, al-Kashi, Ibn
al-Haitham, Ali Ibn Isa al-Ghazali, al-Zarqab dan Omar Khayyam. Inilah
nama-nama yang mengagumkan dan lis ini adalah lebih panjang daripada
ini. Jika ada seseorang memberitahu anda bahawa bumi Timur Tengah
sebelum ini ketandusan sains, sebutkan nama-nama ini kepadanya. Kesemua
mereka ini berkembang antara tahun 750 hingga 1100 Masihi.
Hasil Nukilan :
Dr. Danial Zainal Abidin
dzcsyifa@streamyx.com
http://danialzainalabidin.com