Oleh Dr. Danial bin Zainal Abidin
Konsep pluralisme ialah konsep kesamaan dalam kepelbagaian agama.
Konsep ini menekankan bahawa semua agama adalah sama dan menuju kepada
kemuncak kebenaran yang sama. Bagi penganut-penganut aliran ini,
agama-agama besar di dunia seperti Islam, Kristian, Yahudi, Buddha,
Hindu dan yang seumpamanya, mempunyai dua struktur utama, iaitu,
eksoterik (aspek luaran / zahir) dan esoterik (aspek dalaman / batin).
Agama-agama ini, menurut mereka, hanya berbeza pada aspek luaran atau
zahirnya sahaja, sedangkan pada aspek dalamannya ia adalah sama, iaitu
menuju pada tuhan yang satu.
Sebagai contoh, sekiranya umat Islam menunaikan ibadat dengan cara
bersolat di masjid, penganut agama Buddha beribadat dengan membaca
mantera-manteranya di kuil, dan penganut-penganut Kristian pula hadir
dan bertafakur di gereja pada setiap hari Ahad, dan begitulah
seterusnya. Justeru, menurut mereka, kesemua bentuk ibadat itu adalah
benar dan diiktiraf kerana kesemuanya menuju kepada satu ‘kebenaran yang
hakiki’, iaitu Tuhan. Bagi umat Islam Tuhannya ialah Allah, manakala
bagi penganut Kristian Dia adalah Jesus, dan begitulah seterusnya.
Antara tokoh yang mempopularkan isme ini ialah Ernst Troeltsch
(1865-1923), Arnold Toynbee (1889-1975), Wilfred Cantwell Smith
(1916-2000) dan John Harwood Hick (1922-sekarang). Pengaruh isme ini
begitu kuat sehinggakan segelintir umat Islam sudah mengimani konsep ini
pada hari ini. Sebagai contoh, seorang tokoh Islam Liberal di Indonesia
yang bernama Ulil Absar Abdalla, tanpa segan silu lagi menyatakan
bahawa “Semua agama sama. Semuanya menuju jalan kebenaran. Jadi, Islam
bukan yang paling benar.” Hal ini dilaporkan dalam majalah Gatra, 21
Disember 2002.
Islam menghormati semua agama tetapi ia tidak bersetuju dengan aliran
yang mengatakan bahawa semua agama adalah sama. Sebagai contoh, pada
29hb Julai 2005, Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengeluarkan fatwanya yang
memutuskan bahawa aliran pluralisme adalah bertentangan dengan Islam.
Fatwanya berbunyi, “Pluralisme agama adalah suatu faham yang mengajarkan
bahawa semua agama adalah sama dan kerananya kebenaran setiap agama
adalah relatif. Oleh sebab itu, setiap pemeluk agama tidak boleh
(mendakwa) bahawa hanya agamanya saja yang benar sedangkan agama yang
lain salah…… Pluralisme…. sebagaimana dimaksudkan pada bahagian pertama
adalah (kefahaman) yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.”
Apakah Alasannya Islam Menolak Pluralisme?
Secara logiknya, jika kesemua agama adalah sama mengapakah nabi
Muhammad perlu diutus untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan
kepada cahaya? Mengapakah nabi perlu menentang penyembahan berhala yang
dilakukan oleh golongan Arab ketika itu sehingga mendatangkan kesusahan
ke atas diri sendiri? Mengapakah pendeta Yahudi yang bernama Abdullah
bin Salam memeluk Islam di zaman nabi dan hal ini diterima nabi dengan
penuh kesyukuran? Mengapakah nabi mengutus surat kepada pemimpin
pelbagai negara untuk mengajak mereka kepada Islam?
Hal ini disebabkan ajaran Islam yang dibawa nabi Muhammad tidak sama
dengan ajaran yang terdapat dalam agama yang lain. Konsep ketuhanan
Islam tidak sama dengan konsep triniti Kristian, tidak sama dengan
konsep trimurti Hindu dan yang seumpamanya.
Jika konsep ketuhanan Islam sama dengan konsep triniti Kristian,
mengapakah Allah berfirman dalam surah al-Maidah ayat 72-73 yang
bermaksud, “Demi sesungguhnya, telah kafirlah orang-orang yang berkata:
‘Bahawasanya Allah ialah al-Masih anak Maryam’. Padahal al-Masih sendiri
berkata: ‘Wahai Bani Israel, sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu.
Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain,
maka sesungguhnya Allah haramkan baginya syurga, dan tempat kembalinya
ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang
zalim’. Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata:
‘Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan’. Padahal tiada
Tuhan melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari
apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari
kalangan mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya”?
Demikian juga, jika benar umat Islam disuruh bertolak ansur dengan
sembahan-sembahan yang dianggap sebagai jelmaan daripada Tuhan yang esa,
mengapakah dalam surah an-Najm ayat 23 Allah berfirman, “Benda-benda
yang kamu sembah itu tidak lain hanyalah nama-nama yang kamu dan datuk
nenek kamu menamakannya. Allah sekali-kali tidak menurunkan sebarang
bukti yang membenarkannya. Mereka yang berbuat demikian, tidak menurut
melainkan sangkaan-sangkaan dan mengikut apa yang diingini oleh hawa
nafsunya. Padahal demi sesungguhnya telah datang kepada mereka petunjuk
dari Tuhan mereka.”?
Hal yang sama ditegaskan dalam surah az-Zumar ayat 65-66 yang
bermaksud, “Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad)
dan kepada nabi-nabi sebelummu bahawa: ‘Demi sesungguhnya, jika engkau
(dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan
Allah) tentulah akan gugur amalanmu, dan engkau akan menjadi dari
orang-orang yang rugi.’ (Janganlah menyembah yang lain daripada Allah)
bahkan hendaklah engkau menyembah Allah semata-mata, dan hendaklah
engkau menjadi dari orang-orang yang bersyukur”.
Golongan pluralis sering kali mengatakan bahawa pelbagai sembahan
yang disembah oleh manusia mengikut agama masing-masing tidak sepatutnya
menimbulkan masalah kerana tujuannya tetap sama, iaitu, untuk
mendekatkan diri kepada Tuhan Yang Maha Esa. Islam tidak bersetuju
dengan mereka malah dalam surah az-Zumar ayat 3-4 Allah menggelar mereka
sebagai golongan musyrik yang sesat dan bukannya sebagai golongan
Muslim atau Mukmin yang dimuliakan. Allah berfirman, “Dan orang-orang
musyrik yang mengambil pelindung selain daripada Allah berkata: ‘Kami
tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada
Allah dengan sedekat-dekatnya’. Sesungguhnya Allah akan memutuskan di
antara mereka tentang apa yang mereka berselisih padanya. Sesungguhnya
Allah tidak memberi hidayah kepada orang-orang yang pendusta dan sangat
ingkar. Kalaulah Allah hendak mempunyai anak, tentulah Dia memilih
mana-mana yang dikehendakinya di antara ciptaan-ciptaannya. Maha Sucilah
Dia (dari menghendaki yang demikian) itu. Dia lah Allah, Yang Maha Esa
lagi Maha Mengalahkan.”
Sebagai kesimpulannya, agama Islam menyuruh umatnya menghormati
agama-agama lain. Malah umat Islam dilarang mencaci tuhan-tuhan yang
disembah oleh orang lain. Namun, ia tidak bermaksud bahawa umat Islam
meredai dan bersetuju dengan ajaran yang terdapat dalam agama-agama itu.
Justeru, dalam surah al-Kafiruun ayat 1-6 Allah menegaskan, “Katakanlah
(wahai Muhammad): ‘Hai orang-orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa
yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan
aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak
pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Maka untukmu
agamamu, dan untukku agamaku’.” Inilah pendirian umat Islam.
Adakah Ini Bermakna Islam Tidak Boleh Bertoleransi?
Tidak bersetuju dengan sesuatu tidak bermaksud tidak boleh
bertoleransi dengan sesuatu. Sebenarnya seorang Muslim tidak menjadi
Muslim yang sebenarnya jika dia tidak bertoleransi dengan penganut agama
lain. Hal ini disebabkan bertoleransi dan bersikap adil dengan mereka
yang bukan Islam diwajibkan oleh agama Islam. Hal ini ditegaskan Allah
dalam surah al-Maidah ayat 8 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang
beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang
menegakkan keadilan kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan jangan
sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu
kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada
sesiapa jua) kerana bersikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan
bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang
kamu lakukan.”
Dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 pula Allah menyuruh umat Islam agar
hidup secara baik dengan golongan bukan Islam yang tidak memerangi
mereka. Allah berfirman, “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat
baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu
kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman
kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”
Sejarah membuktikan hakikat ini. Sebagai contoh, profesor T. W.
Arnold dalam bukunya ’The Preaching of Islam (Low Price Publications,
New Edition, India, 2002) melaporkan, “Apabila tentera-tentera Islam
tiba di lembah Jordan dan panglima Abu Ubaidah mengarahkan agar
khemah-khemah dipasang di Fhil, penduduk-penduduk Kristian di negeri itu
telah menulis surat kepada golongan Arab Muslim ini dengan berkata,
‘Wahai orang-orang Islam, kami lebih suka jika kamu yang memerintah kami
daripada pihak Rom walaupun mereka seagama dengan kami. Mereka telah
merompak harta kami dan memusnahkan tempat tinggal kami’.”
Hal ini
disebabkan golongan Islam memang dikenali ketika itu sebagai satu
golongan yang adil dan saksama termasuk terhadap golongan yang bukan
Islam.
Tokoh-tokoh Islam amat mementingkan toleransi dengan golongan bukan
Islam. Sejarah meriwayatkan bahawa beberapa perjanjian pernah dibuat
oleh khalifah Omar al-Khattab dengan golongan bukan Islam berhubung
hak-hak mereka. Antaranya, seperti yang disebutkan dalam kitab Tarikh
at-Tabari (Dar al-Maarif, jilid 3) iaitu, “Keselamatan jiwa dijamin,
demikian juga dengan harta benda, gereja-gereja dan tempat ibadah
mereka. Gereja-gereja mereka tidak akan diduduki, tidak akan diruntuhkan
dan dikurangkan. Harta benda gereja tidak akan diambil dan tanda-tanda
salib dibiarkan. Mereka tidak akan ditindas kerana perbezaan agama, dan
tidak ada sesiapapun dari kalangan mereka yang akan disakiti…”
Sejarah juga menceritakan berhubung perjanjian yang pernah dibuat
oleh panglima Khalid al-Walid dengan golongan bukan Islam, iaitu,
“Mereka berhak membunyikan loceng-loceng gereja pada bila-bila masa yang
mereka suka kecuali pada waktu sembahyang (orang-orang Islam). Mereka
juga boleh mengeluarkan tanda salib mereka pada hari perayaan mereka.”
Hal ini dilaporkan dalam kitab Al-Kharaj karangan Imam Abu Yusuf.
Tambahan daripada itu, dalam kitab al-Islam wa Ahlul Zimmah karangan
Dr. Ali Husni Al-Kharbutli, dilaporkan bahawa pembinaan rumah-rumah
ibadah golongan bukan Islam meningkat pada zaman pemerintahan Islam.
Maqrizi berkata, “Kebanyakan gereja di Mesir dibina pada waktu
pemerintahan Islam tanpa ada sebarang perbezaan pendapat.”
Sebagai contoh, gereja Mar Marcus yang terkenal di Iskandariah,
Mesir, dibina antara tahun 39-56 hijrah. Gereja yang pertama di bandar
Fustat pula dibina antara tahun 48-68 hijrah. Semua pembinaan ini
berlaku di zaman pemerintahan Islam.
Untuk lebih memahami konsep toleransi umat Islam, mari kita amati apa
yang dikatakan oleh Robert Briffault dalam bukunya The Making of
Humanity (Islamic Book Foundation, Lahore, 1980). Dalam bab Dar
al-Hikmet, beliau berkata, “Di bawah konsep toleransi agama (Islam)
golongan Kristian hidup penuh kebebasan di bawah pemerintahan khalifah
Islam di Sepanyol.. Pelajar-pelajar Kristian dari pelbagai pelosok
Eropah datang ke negara Arab ini untuk belajar. Alvaro, seorang paderi
kanan di Cordova, menulis pada abad ke-9 Masihi, ‘Kesemua pelajar
Kristian yang berbakat ini mengetahui bahasa dan kesusasteraan Arab.
Mereka membaca dengan penuh minat buku-buku karangan orang Arab dan
berasa amat kagum dengan kesusasteraannya’.”
Golongan Yahudi juga mendapat manfaat daripada sikap toleransi ini.
Berhubung dengan ini Robert Briffault dalam buku yang sama berkata,
“Sikap toleransi orang-orang Islam di bawah pemerintahan khalifah juga
dirasai oleh orang-orang Yahudi. Mereka kemudiannya memperkembangkan
budaya hidup orang-orang Islam ke kawasan-kawasan ceruk yang tidak
mengenali erti tamadun… Mereka membina banyak sekolah, antaranya sekolah
Kimhis dan Ben Esra di Narbonne, dan di situ mereka mengajar ilmu sains
Arab di samping menterjemahkan pelbagai buku karangan orang-orang
Arab…”
Tidakkah ini menunjukkan bahawa agama Islam amat bertoleransi dengan
golongan bukan Islam? Inilah sebenarnya yang diajar oleh Allah dan
Rasulnya. Justeru kita boleh hidup secara aman penuh toleransi dalam
perbezaan dan kepelbagaian.
Hasil Nukilan :
Dr. Danial Zainal Abidin
dzcsyifa@streamyx.com
http://danialzainalabidin.com